Khamis, 4 Disember 2008

PAS pertimbang kemuka dua nama calon

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB (mstar)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, parti itu akan mempertimbangkan sekurang-kurang dua nama calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"PAS peringkat pusat kebiasaannya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Kamaruddin yang juga ahli Parlimen Tumpat berkata, kriteria calon yang diperlukan PAS untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kali ini adalah kebolehan seseorang calon itu untuk meraih kemenangan.

Ditanya sama ada parti itu akan berbincang dengan Pakatan Rakyat berhubung calon yang akan diletakkan nanti, Kamaruddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana Pakatan Rakyat telah memutuskan bahawa calon adalah daripada PAS.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, PAS telah bersetuju melantik Timbalan Presidennya, Nasaruddin Mat Isa sebagai ketua jentera pilihan raya kecil kuala Terengganu sementara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dilantik menjadi pengarah pilihan raya di peringkat negeri.

"Pelantikan itu adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil tersebut yang mana tarikh-tarikh yang berkaitan dengan pilihan raya itu akan diumumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) esok," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain bandminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

SPR dijadualkan akan mengadakan mesyuarat khas esok berhubung tarikh pilihan raya bagi kawasan itu.

Semalam, 'permainan nama' untuk pilihan raya kecil itu telah pun bermula apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan pilihannya.

Nik Aziz berpendapat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang kalah pada pertandingan bagi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum Mac adalah pelengkap terbaik untuk mendapatkan semula kerusi dan digambarkan sebagai seseorang yang “gift of the gap."

Sementara itu, Mohamad Sabu ketika dihubungi mStar Online semalam menyatakan kesediaannya untuk bertanding buat kali kedua pada pilihanraya kecil itu.

Tiada ulasan: