Jumaat, 5 Disember 2008

Maimun layak bertanding di Parlimen K Terengganu

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (mstar)

PUTRAJAYA: Calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum ke-12 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusuf, 89 (gambar) masih layak bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Januari tahun depan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Maimun atau lebih Tok Mun boleh bertanding lagi pada kali ini kerana beliau telah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada SPR.

"Semua calon yang dulu layak bertanding selagi tidak menyalahi undang-undang dari segi menyerah penyata perbelanjaan pilihan raya.

"Beliau serah penyata. Kalau serah penyata, tiada masalahlah," katanya selepas sidang media berhubung pilihan raya kecil Kuala Terengganu di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Maimun yang hanya mendapat 685 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi manakala caIon Pas, Mohamad Sabu pula mendapat 31,934 undi.

SPR hari ini telah bersetuju bahawa tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah pada 17 Januari 2008 sementara hari peanamaan calon adalah pada 6 Januari.

Pilihan raya kecil Parlimen itu diadakan berikutan penyandangnya, Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Maimun sebelum ini telah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ada pihak sudi menaja wang pertaruhan RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya kecil itu, Wan Ahmad berkata, SPR bersetuju membenarkan kehadiran wakil Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) untuk menjalankan pemerhatian dengan syarat yang ditetapkan SPR.

Beliau berkata, pemerhati hanya dibenarkan berada di pusat mengundi pada hari pengundian dan mereka sama sekali dilarang memasuki saluran pengundian.

"Undang-undang tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk ke dalam saluran pengundian kecuali petugas pilihan raya, ejen calon, pengundi, anggota SPR dan mereka yang dibenarkan oleh SPR sahaja.

"Kita masih membenarkan Mafrel membuat pemantauan seperti pada pilihan raya umum ke-12 (8 Mac) dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, (26 Ogos) tapi syarat tu ketat kerana kita tak mahu urusan perjalanan pilihan raya diganggu kelancaran," katanya.

Tiada ulasan: