Khamis, 4 Disember 2008

Calon PRK KT: Pas pertimbang kemuka 2 calon

oleh Mohd Khalil Abdullah (Harakah)

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh) - PAS akan mempertimbangkan dua nama calon untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu kelak.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar, pihak parti biasanya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding.

"PAS peringkat pusat kebiasaannya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, kebolehan calon untuk menang dalam pilihan raya kecil itu adalah kriteria utama PAS.

Ketika ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat berhubung calon pilihan raya tersebut,Kamarussin berkata, perkara itu tidak timbul kerana Pakatan Rakyat telah memutuskan bahawa Kuala Terengganu adalah milik PAS.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, PAS telah bersetuju melantik Timbalan Presidennya, Nasaruddin Mat Isa sebagai ketua jentera pilihan raya kecil kuala Terengganu sementara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong dilantik menjadi pengarah pilihan raya di peringkat negeri.

"Pelantikan itu adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil tersebut yang mana tarikh-tarikh yang berkaitan dengan pilihan raya itu akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands minggu lalu.

Sementara itu, pihak SPR dijangkakan akan bermesyuarat esok untuk menentukan tarikh pilihan raya bagi kawasan itu.

Tiada ulasan: