Selasa, 16 Disember 2008

Pemuda Umno T'ganu Fokus 20 ribu golongan muda

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan pelbagai program bagi menarik sokongan kira-kira 20,000 pengundi muda dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, terhadap parti itu.

Ketuanya Mohd Sabri Alwi berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan menyokong calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil parlimen tersebut, 17 Jan depan.

"Kita akan mengadakan pelbagai program untuk mengesan serta menjejaki pengundi muda ini. Undi mereka dapat membantu kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil nanti," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Beliau berkata Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan Pemuda Umno negeri dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu supaya mengatur program-program bagi mendekatkan diri dengan golongan muda.

Mohd Sabri berkata pilihan raya kecil itu, cukup bermakna kepada Umno untuk memulihkan keadaan serta mengeratkan kembali perpaduan selepas pemilihan parti, baru-baru ini.

"Saya akui sedikit sebanyak pada pemilihan parti baru-baru ini berlaku kekecohan dan keretakan di kalangan ahli Umno. Melalui pilihan raya kecil ini kita akan dapat bersatu semula," katanya.

Beliau berharap anggota Umno terutamanya Pemuda supaya dapat melupakan apa jua krisis yang berlaku sebelum ini, sebaliknya memberi fokus terhadap pilihan raya kecil itu.

"Biarlah kita sama-sama melupakan dan tumpukan kepada pilihan raya kecil ini kerana matlamat kita ialah untuk memenangkan calon BN," katanya.

Sabtu, 6 Disember 2008

Mustaffa Ali mahu Pengerusi SPR buktikan bersikap adil

oleh Azamin Amin (Harakah)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Hrkh) - PAS Negeri Terengganu menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari tahun hadapan mengambil kira situasi banjir dan perayaan-perayan yang ada pada bulan ini.

Sungguhpun begitu, Pesuruhjaya PAS Negeri Dato' Mustafa Ali mahu SPR membuktikan bahawa pilihan raya kali ini boleh dijalankan secara bebas dan adil memandangkan sepanjang masa pilhan raya yang lalu berlaku sebaliknya.

"Sempena SPR mempunyai pengerusi baru, biarlah memulakan tugas beliau melaksanakan pilihan raya kecil Kuala Terengganu menjadi contoh satu pilihan raya yang telus dan adil.

"Saya mahu lihat, bebas dan adil bukan sekadar pada cakap. Tapi, pada perlaksanaan. Biarlah kita lawan sesama parti. Pakatan rakyat khususnya PAS melawan BN khususnya Umno.

"Bukan sebuah kerajaan menggunakan apa yang mereka punya untuk berlawan dengan kita sebagaimana masa-masa yang lalu," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily malam semalam.

Dalam pada itu beliau mahu pimpinan Umno supaya masuk pilihan raya ini secara 'gentleman' tanpa ada sebarang ugutan, sama ada melalui agensi kerajaan atau selainnya.

"Saya tidak boleh nak kata Umno tidak menggunakan duit. Ini memang kerja dia.Budaya dia. Saya tidak boleh sebut kalau bukan sifatnya. Dia akan guna duit, tapi ada peraturan yang dia kena 'honour'.

"Maknanya kena had perbelanjaan. Supaya dia tengok, perkara-perkara sebegini," katanya.

Bagi PAS kata Mustafa, ada langkah-langkah yang akan diambil kalau pimpinan Umno melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang sebab PAS mempunyai jawatankuasa dalam jentera iaitu 'Jawatankuasa Legal' (undang-undang).

"Saya mahu biarlah kita melihat secara gentlemen,mengikut peraturan,secara beradab berdasarkan kepada apa yang menjadi panduan yang semua orang sebut 'free and fair' dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa Jawatan Kuasa Induk di Bahagian Pusat, Pengarahnya ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Md Isa manakala beliau sendiri menjadi Timbalannya dan Setiausahanya ialah Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar. Ahlinya terdiri daripada semua Naib Presiden,semua ketua dewan dan beberapa tambahan yang lain.

"Jadi oleh kerana Jawatankuasa Induk, ada yang anggota daripada pimpinan negeri Terengganu yang 'direct' berada dalam jawatankuasa induk. Antaranya ialah Dato' Wan Mutalib, Dato' Abu Bakar Chik,YB Wahid Endut, Dato' Harun Taib," katanya.

Kata Mustafa dari segi operasi di peringkat negeri, jentera pilihan raya kecil Kuala Terengganu, pengerusinya ialah Dato' Wan Mutalib Embong manakala semua pimpinan utama di bawahnya terdiri daripada Dato' Harun Taib dan Dato' Abu Bakar Chik.

Katanya, PAS Pusat melihat pilihan raya kali ini sebagai satu tanggungjawab besar yang mana Terengganu menjadi pusat operasinya dan PAS sudah memulakan gerak kerja sejak awal dan melakukan persiapan yang mantap bagi memastikan kemenangan PAS kali ini.

Senator Wan Farid layak - Puteri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilihat sebagai calon berkelayakan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Pandangan itu dikemukakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Senator Nordiana Shafie kepada Sinar Harian yang menyifatkan Wan Ahmad Farid sebagai tokoh politik berwibawa dan amat popular dalam kalangan masyarakat Kuala Terengganu.

Menurut Nordiana, selain itu pengalaman menjadi ketua UMNO bahagian selama dua penggal dan Timbalan Menteri Dalam Negeri juga
adalah antara faktor mengapa beliau layak untuk dicalonkan.

Katanya, ciri seumpama itu memang diingini pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan beliau yakin bahawa Wan Ahmad Farid mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya dipilih.

Bagaimanapun kata Nordiana, calon mutlak belum dipilih oleh pucuk pimpinan parti dan beliau hanya mendengar desas desus bahawa nama Wan Ahmad Farid tersenarai sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu bertanding di kerusi itu, katanya, BN tidak boleh memandang ringan calon tersebut. Katanya, sekiranya benar Mohamad dicalonkan, persaingan
dijangka sengit, apatah lagi pemimpin tinggi Pas itu tewas pada tangan Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum, Mac lalu.

“Saya harap semua parti yang bertanding akan berkempen secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang agar proses buang undi berjalan lancar. Puteri Terengganu kini dalam proses mengumpulkan kembali jentera parti sebagai persiapan pilihan raya berkenaan,” katanya. - Sinar Harian

Tim Presiden Pas : Calon PRK KT belum diputuskan

Roy Rasul (Harakah)

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Setakat ini PAS belum lagi memutuskan nama calon untuk bertanding di kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berdasarkan prosedur PAS Pusat akan menunggu nama calon yang dicadangkan kawasan-kawasan dan kawasan pula akan hantar kepada negeri dan akhirnya akan diputuskan oleh PAS Pusat.

"Ia bergantung kepada nama yang dicadangkan oleh kawasan tidak kira anak tempatan atau orang luar,"jelasnya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Begitu juga katanya, jika ada kawasan yang mencalonkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagaimana yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat maka ia juga akan dipetimbangkan.

"Jika sudah ada cadangan daripada Tuan Guru,maka kita akan tunggu cadangan kawasan pula kemudian kita akan bincang dalam mesyuarat. Saya tidak boleh bagi keputusan sebab bukan saya yang buat keputusan,"katanya.

Tambahnya, dalam pilihan raya kali ini peluang PAS untuk merampas kerusi tersebut cerah berikutan dengan situasi politik terkini dan tambahan pula majoriti kekalahan lalu adalah kecil.

"Sebab kita lihat dulu, majoriti tidak besar mana pun dan dengan itu peluang kita cerah,insya-Allah,"katanya.

Nasharuddin yang juga Pengarah Pilihan raya Kecil PAS Kuala Terengganu berkata, PAS sudah bersedia untuk berdepan dengan Barisan Nasional.

Jumaat, 5 Disember 2008

Najid: K T'ganu tidak boleh dibanding dengan Permatang Pauh

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam keadaan berbeza berbanding di Permatang Pauh kerana kawasan itu sebelum ini, dimenangi calon parti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN perlu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berbanding di Permatang Pauh, yang sebelum pilihan raya kecil, kawasan itu diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN dan kawasan Parlimen kita (BN)... kita pertahankan kerusi. Keadaan di sini (Parlimen Kuala Terengganu) tidak boleh dibandingkan dengan keadaan di Permatang Pauh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis tahlil Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail di Lorong Kenanga, Batu Burok di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai corak dan kempen yang akan dilaksanakan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau akan mengumumkan perkara itu selepas mendapat gambaran sebenar daripada Umno Terengganu.

"Kita akan beritahu kemudian. Tujuan saya datang ke sini adalah bertemu dengan pemimpin di peringkat Jawatankuasa Bahagian. Selepas itu, baru dapat gambaran sebenar keadaan di sini," katanya.

Mengenai tarikh pengundian pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, SPR menetapkan tarikh berkenaan selepas mengambil kira faktor cuaca yang melanda Terengganu pada masa ini. BERNAMA

Maimun layak bertanding di Parlimen K Terengganu

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (mstar)

PUTRAJAYA: Calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum ke-12 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusuf, 89 (gambar) masih layak bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Januari tahun depan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Maimun atau lebih Tok Mun boleh bertanding lagi pada kali ini kerana beliau telah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada SPR.

"Semua calon yang dulu layak bertanding selagi tidak menyalahi undang-undang dari segi menyerah penyata perbelanjaan pilihan raya.

"Beliau serah penyata. Kalau serah penyata, tiada masalahlah," katanya selepas sidang media berhubung pilihan raya kecil Kuala Terengganu di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Maimun yang hanya mendapat 685 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi manakala caIon Pas, Mohamad Sabu pula mendapat 31,934 undi.

SPR hari ini telah bersetuju bahawa tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah pada 17 Januari 2008 sementara hari peanamaan calon adalah pada 6 Januari.

Pilihan raya kecil Parlimen itu diadakan berikutan penyandangnya, Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Maimun sebelum ini telah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ada pihak sudi menaja wang pertaruhan RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya kecil itu, Wan Ahmad berkata, SPR bersetuju membenarkan kehadiran wakil Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) untuk menjalankan pemerhatian dengan syarat yang ditetapkan SPR.

Beliau berkata, pemerhati hanya dibenarkan berada di pusat mengundi pada hari pengundian dan mereka sama sekali dilarang memasuki saluran pengundian.

"Undang-undang tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk ke dalam saluran pengundian kecuali petugas pilihan raya, ejen calon, pengundi, anggota SPR dan mereka yang dibenarkan oleh SPR sahaja.

"Kita masih membenarkan Mafrel membuat pemantauan seperti pada pilihan raya umum ke-12 (8 Mac) dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, (26 Ogos) tapi syarat tu ketat kerana kita tak mahu urusan perjalanan pilihan raya diganggu kelancaran," katanya.

PRK KT: PKR akan turun padang

KUALA LUMPUR, 5 Disember (SK) - Parlimen Kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan, akan memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional kata Naib Presiden KeADILan Azmin Ali.

Menurut beliau, walau siapapun yang bertanding dalam kerusi parlimen berkenaan, KeADILan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Kami Pakatan Rakyat juga akan memberi tentangan hebat kepada Umno-Barisan Nasional memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik Pakatan Rakyat,” menurutnya dalam blognya 1 Disember lalu

Azmin yang juga Pengarah Pilihanraya KeADILan berkata, KeADILan sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Sebelum ini, satu mesyuarat majlis tertinggi KeADILan telah diadakan dan menetapkan sedia memberi peluang kepada rakan PAS untuk bertanding di Kuala Terengganu. Keputusan ini diambil atas beberapa faktor dan diketahui umum bahawa kerusi Parlimen Kuala Terengganu secara tradisinya adalah milik PAS,” katanya lagi.

Hari ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan diadakan pada 6 Januari dan pengundian pula 17 Januari, memberikan 11 hari berkempen.

Jumlah pengundi kali ini 80,229 orang, sedikit berbeza berbanding 80,325 orang dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Khamis, 4 Disember 2008

PRK KT: 17 Januari tarikh mengundi

oleh Syukree Hussain (Malaysia Today)

Putrajaya, 5 Disember - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 17 Januari depan sabtu dan tarikh penamaan calon adalah pada 6 Januari Selasa.

Tempoh berkempen diberi selama 11 hari Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) setelah SPR bermesyuarat hampir 2 jam.

Mesyuarat berkenaan memfokuskan mengenai PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu untuk menggantikan penyandangnya Datuk Razali Ismail berikutan kematiannya.

Selain itu mesyuarat juga membincangkan mengenai penyusunan dan pengendalian pilihan raya tersebut dengan perlantikan pegawai dan pengurus pilihan raya.

Pada pilihan raya lalu, Naib Presiden Pas Mohamad Sabu gagal merampas kerusi tersebut daripada Umno seperti pada tahun 1999.

Pas berkemungkinan menamakan Mohamad sekali lagi atau Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Wan Mutalib Embong.

Sementara itu Umno pula dikhabar akan menonjolkan Senator Wan Farid Wan Ahmad untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Umno dalam pertandingan 3 penjuru semasa PRU 12 lalu.

Calon PRK KT: Pas pertimbang kemuka 2 calon

oleh Mohd Khalil Abdullah (Harakah)

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh) - PAS akan mempertimbangkan dua nama calon untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu kelak.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar, pihak parti biasanya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding.

"PAS peringkat pusat kebiasaannya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, kebolehan calon untuk menang dalam pilihan raya kecil itu adalah kriteria utama PAS.

Ketika ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat berhubung calon pilihan raya tersebut,Kamarussin berkata, perkara itu tidak timbul kerana Pakatan Rakyat telah memutuskan bahawa Kuala Terengganu adalah milik PAS.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, PAS telah bersetuju melantik Timbalan Presidennya, Nasaruddin Mat Isa sebagai ketua jentera pilihan raya kecil kuala Terengganu sementara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong dilantik menjadi pengarah pilihan raya di peringkat negeri.

"Pelantikan itu adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil tersebut yang mana tarikh-tarikh yang berkaitan dengan pilihan raya itu akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands minggu lalu.

Sementara itu, pihak SPR dijangkakan akan bermesyuarat esok untuk menentukan tarikh pilihan raya bagi kawasan itu.

PAS pertimbang kemuka dua nama calon

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB (mstar)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, parti itu akan mempertimbangkan sekurang-kurang dua nama calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"PAS peringkat pusat kebiasaannya akan mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua nama calon untuk bertanding," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Kamaruddin yang juga ahli Parlimen Tumpat berkata, kriteria calon yang diperlukan PAS untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kali ini adalah kebolehan seseorang calon itu untuk meraih kemenangan.

Ditanya sama ada parti itu akan berbincang dengan Pakatan Rakyat berhubung calon yang akan diletakkan nanti, Kamaruddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana Pakatan Rakyat telah memutuskan bahawa calon adalah daripada PAS.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, PAS telah bersetuju melantik Timbalan Presidennya, Nasaruddin Mat Isa sebagai ketua jentera pilihan raya kecil kuala Terengganu sementara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dilantik menjadi pengarah pilihan raya di peringkat negeri.

"Pelantikan itu adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil tersebut yang mana tarikh-tarikh yang berkaitan dengan pilihan raya itu akan diumumkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) esok," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain bandminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

SPR dijadualkan akan mengadakan mesyuarat khas esok berhubung tarikh pilihan raya bagi kawasan itu.

Semalam, 'permainan nama' untuk pilihan raya kecil itu telah pun bermula apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan pilihannya.

Nik Aziz berpendapat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang kalah pada pertandingan bagi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum Mac adalah pelengkap terbaik untuk mendapatkan semula kerusi dan digambarkan sebagai seseorang yang “gift of the gap."

Sementara itu, Mohamad Sabu ketika dihubungi mStar Online semalam menyatakan kesediaannya untuk bertanding buat kali kedua pada pilihanraya kecil itu.

Rabu, 3 Disember 2008

Wan Farid hampir pasti calon BN

oleh Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

Jawatankuasa penyelaras Umno bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan Ladang sebulat suara menyokong Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kedua-duan DUN tersebut semalam.

Batu Buruk dan Ladang adalah antara empat DUN dalam parlimen Kuala Terengganu. Dua lagi ialah Wakaf Mempelam dan Bandar.

Dalam mesyuarat tersebut, Batu Buruk diwakili oleh timbalan ketua Umno bahagian, Mohd Sabri Alwi manakala Ladang diwakili oleh naib ketua bahagian, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga timbalan menteri pelajaran, Jumaat lalu.

Menurut sumber-sumber, dalam mesyuarat tersebut, mereka sebulat suara mencalonkan Wan Ahmad Farid yang juga timbalan menteri dalam negeri, sebagai calon bagi pilihanraya kecil tersebut.

'Pegang jawatan'

Sementara itu, Umno bahagian difahamkan akan menyenaraikan tiga nama untuk dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ketiga-tiga nama tersebut merupakan mereka yang memegang jawatan di peringkat Umno bahagian.

Selain Wan Ahmad Farid, difahamkan dua lagi calon yang ingin disenaraikan termasuklah Mohd Sabri dan ahli jawatankuasa bahagian, Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Wan Ahmad Farid berkata, Umno bahagian akan bermesyuarat 9 Disember ini untuk memutuskan senarai itu untuk diserahkan kepada Umno negeri.

Katanya, calon yang tidak berjawatan dalam Umno bahagian sukar mendapat sokongan parti dan pengundi.

Mohamad Sabu sedia tanding lagi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (mstar)

PETALING JAYA: Bekas calon PAS, Mohamad Sabu menyatakan kesediaannya untuk bertanding buat kali kedua pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu selepas tewas di kerusi Parlimen yang sama dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

"Saya sentiasa bersedia kalau dipilih oleh parti untuk bertanding, tapi keputusan untuk tentukan itu (calon), terletak pada parti," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Walaubagaimanapun Beliau berkata hingga kini PAS masih belum menentukan calon yang akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya berkenaan.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu kosong ekoran kematian mengejut penyandangnya sebelum ini yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Allahyarham mengalahkan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Mohamad Sabu berkata beliau gembira kerana Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

"Yang penting ialah calon PAS, walau siapa pun yang menjadi calon nanti, kita akan beri sokongan padu untuk pastikan kemenangan," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan buat masa ini pengurusan parti menunggu signal yang akan diberikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul hadi Awang untuk tindakan lanjut.

"Kita tunggu Presiden balik menunaikan haji dulu, lepas itu baru kita tau apa tindakan lanjut yang diambil," katanya.

Ditanya sejauhmana keyakinan PAS untuk menang dalam pilihanraya berkenaan, beliau berkata PAS bersama anggota Pakatan Rakyat yang lain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan dalam pilihanraya berkenaan.

Umno Bahagian Kuala Terengganu serah senarai calon lepas 9 Disember

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (Mstar)

PETALING JAYA: Umno Bahagian Kuala Terengganu akan menyerahkan senarai calon-calon yang akan dicadangkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mesyuarat persediaan jentera pilihanraya 9 Disember ini.

Ketua Umno bahagian itu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Umno bahagiannya akan membuat beberapa cadangan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk ditapis.

"Ikut prosedurnya, seperti biasa kita akan kemukakan beberapa cadangan (nama) kepada Badan Perhubungan (Umno) negeri untuk ditapis.

"Selepas itu barulah Umno negeri akan hantar senarai nama yang difikirkan sesuai itu kepada Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) untuk diputuskan," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Jelas beliau perkara untuk menentukan calon mana yang layak bertanding bagi kerusi Parlimen berkenaan bukan terletak kepada bidang kuasa Umno bahagiannya.

Sebaliknya kata beliau ia menjadi tanggungjawab jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Harus diingat, mesyuarat yang akan diadakan nanti fokusnya bukanlah kepada pemilihan calon.

"Ia lebih kepada persediaan yang akan diambil oleh Umno bahagian untuk menghadapi pilihanraya kecil itu nanti...itu agenda utama," katanya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong selepas kematian penyandangnya sebelum ini Allahyarhan Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu.

Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan Calon Bebas, Maimun Yusof dalam pilihanraya umum Mac lalu dengan majoriti 628 undi.

Dalam pada itu Ahmad Farid berkata beliau berkeyakinan BN akan dapat mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen berkenaan memandangkan Allahyarham Razali telah berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

"Allahyarham telah tinggalkan platform yang kukuh kepada calon penggantinya selepas ini kerana bagitu banyak perubahan dan kemajuan yang dilakukannya selama empat tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen," katanya.

Tambah beliau lagi laluan untuk calon yang bertanding atas tiket BN itu nanti dilihat lebih mudah kerana prestasi yang begitu memuaskan oleh penyandangnya selama ini.

Selasa, 2 Disember 2008

Pilihan raya kecil: SPR terima notis, mesyuarat khas Jumaat ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Mesyuarat khas ini akan menetapkan tarikh mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kosong," kata Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online, sebentar tadi.


Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil tersebut akan diadakan pada tahun ini juga, Wan Ahmad berkata: "Biar kami putuskan pada mesyuarat itu nanti."

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini memberitahu notis kekosongan bagi kerusi Parlimen tersebut telah pun dihantar ke SPR.


"Ia (notis) telah pun dihantar sebentar tadi," katanya ringkas.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi. - mstar

PAS bertanding di Kuala Terengganu

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Hrkh) -Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa hari ini mengesahkan parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut Nasharuddin, pemilihan calon akan melalui proses biasa iaitu berdasarkan cadangan daripada peringkat cawangan, diperhalusi di peringkat bahagian sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat.

"Majlis mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat dijangka akan membuat keputusan akhir berhubung calon yang akan bertanding pada mesyuarat, 21 Disember ini,"katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada Jumaat lepas.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Razali mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Mohamad memperolehi 31,934 undi manakala Razali 32,562 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof hanya 685 undi.

Ditanya sama ada PAS akan sekali lagi mempertaruhkan Mohamad Sabu sebagai calon di kawasan itu, Nasharuddin berkata ia bergantung kepada cadangan daripada peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, katanya rakan daripada Parti Keadilan Rakyat telah menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong calon yang diletakkan oleh PAS. - Harakah

Isnin, 1 Disember 2008

Pertembungan impian: Wan Mutalib lwn Wan Farid

KUALA TERENGGANU, 28 Nov: Berikutan kematian anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail petang tadi, kini Kuala Terengganu bakal menyaksikan pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Dan pertembungan impian adalah antara Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong dengan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid.

Wan Mutalib adalah calon yang disebut-sebut untuk menjadi calon PAS di Kuala Terengganu sebelum PAS Pusat memutuskan untuk mencalonkan Naib Presidennya, Haji Muhamad Sabu di situ.

Wan Farid yang kini adalah senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri pula adalah calon yang disebut-sebut untuk bertanding dalam pilihan raya lalu di kawasan ini tetapi nama beliau hilang selepas itu.

Ramai pihak menganggap pertembungan kedua-duanya adalah pertembungan impian banyak pihak kerana kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua calon itu di kawasan ini.

Wan Mutalib, AJK PAS Pusat, sebelum ini adalah Adun Batu Burok. Beliau kini menjadi Pengerusi JK Pemantau bagi pihak PAS Pusat untuk semua negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Selain beliau, turut tersenarai untuk menjadi calon-calon PAS adalah pesuruhajaya PAS Terengganu sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Di pihak BN pula, nama bekas anggota Parlimen Kuala Terengganu, Zuber Embong juga ada disebut-sebut. - Siasah

Pilihan raya kecil: SPR tunggu notis, MB bimbang banjir

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga petang semalam (pukul 4 petang) pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas," kata beliau yang dihubungi petang semalam.

"Kami masih menunggu makluman daripada Parlimen," kata beliau lagi.

Pejabat Speaker Dewan Rakyat ketika dihubungi petang semalam turut mengesahkan yang notis akan dikeluarkan dalam waktu terdekat, dipercayai minggu.


Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan ini kerana negeri itu sedang dilanda banjir.

"Kalau bulan ini agak sulit sikit. Kerana musim ini musim banjir. Kita serah kepada SPR.

"Kita tak ada kata putus. Kita ikut sahaja," kata beliau dipetik Bernama selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Terengganu, Top IT Industries Sdn Bhd dan Intel Malaysia semalam.

Ahmad yakin Umno dapat mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kecil itu walaupun ia dijangka sengit.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.


Pilihan raya kecil sebelum ini ialah Permatang Pauh, yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan diadakan minggu ini, Wan Ahmad menjelaskan bahawa "kita akan memutuskan sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat memaklumkan tentang kekosongan."

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan. Sama ada pilihan raya kecil itu akan disegerakan, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh panel anggota SPR.

Pilihan raya kecil akan diadakan ekoran kematian mengejut Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail ketika bermain badminton di Genting Highlands Jumaat lalu.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

Pada pilihan raya umum lepas Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Pilihan raya kecil ini jika diadakan sebelum hujung bulan bermakna ia dikendalikan tanpa Pengerusi dan Setiausaha.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menunaikan haji manakala belum ada pengganti jawatan Setiausaha.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan Setiausaha akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya kecil, Wan Ahmad berkata, masalah tersebut tidak akan wujdu.

"Pilihan raya kecil biasanya merupakan urusan negeri dan Pengarah Pilihan Negeri mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pilihan raya.


"Jadi tidak akan menghadapi masalah," katanya. - MSTAR

Kuala Terengganu jambatan ke Putrajaya

Kurang 2 bulan pilihan raya kecil Kuala Terengganu(KT) akan dijalankan selepas kematian Ahli Parlimennya Jumaat lalu.

Sebagai seorang wartawan untuk Pakatan Rakyat(PR), maka saya sediakan blog untuk platform atau bahan kempem secara blog demi memastikan KT milik PR.

Tidak kira siapa calonnya, ketepikan kepentingan peribadi dan mari kita bersama-sama membantu Pas merampas kerusi ini daripada Umno.

Jika PR berjaya memenangi ini, ini bermaksa 'kaki PR' sudah selangkah di Putrajaya.

Namun, jika sebaliknya, maka rancangan '16 September' semakin lambat.