Isnin, 1 Disember 2008

Pilihan raya kecil: SPR tunggu notis, MB bimbang banjir

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga petang semalam (pukul 4 petang) pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas," kata beliau yang dihubungi petang semalam.

"Kami masih menunggu makluman daripada Parlimen," kata beliau lagi.

Pejabat Speaker Dewan Rakyat ketika dihubungi petang semalam turut mengesahkan yang notis akan dikeluarkan dalam waktu terdekat, dipercayai minggu.


Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan ini kerana negeri itu sedang dilanda banjir.

"Kalau bulan ini agak sulit sikit. Kerana musim ini musim banjir. Kita serah kepada SPR.

"Kita tak ada kata putus. Kita ikut sahaja," kata beliau dipetik Bernama selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kerajaan Negeri Terengganu, Top IT Industries Sdn Bhd dan Intel Malaysia semalam.

Ahmad yakin Umno dapat mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kecil itu walaupun ia dijangka sengit.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.


Pilihan raya kecil sebelum ini ialah Permatang Pauh, yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan diadakan minggu ini, Wan Ahmad menjelaskan bahawa "kita akan memutuskan sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat memaklumkan tentang kekosongan."

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan. Sama ada pilihan raya kecil itu akan disegerakan, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh panel anggota SPR.

Pilihan raya kecil akan diadakan ekoran kematian mengejut Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail ketika bermain badminton di Genting Highlands Jumaat lalu.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

Pada pilihan raya umum lepas Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Pilihan raya kecil ini jika diadakan sebelum hujung bulan bermakna ia dikendalikan tanpa Pengerusi dan Setiausaha.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menunaikan haji manakala belum ada pengganti jawatan Setiausaha.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan Setiausaha akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya kecil, Wan Ahmad berkata, masalah tersebut tidak akan wujdu.

"Pilihan raya kecil biasanya merupakan urusan negeri dan Pengarah Pilihan Negeri mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pilihan raya.


"Jadi tidak akan menghadapi masalah," katanya. - MSTAR

Tiada ulasan: