Selasa, 16 Disember 2008

Pemuda Umno T'ganu Fokus 20 ribu golongan muda

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan pelbagai program bagi menarik sokongan kira-kira 20,000 pengundi muda dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, terhadap parti itu.

Ketuanya Mohd Sabri Alwi berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan menyokong calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil parlimen tersebut, 17 Jan depan.

"Kita akan mengadakan pelbagai program untuk mengesan serta menjejaki pengundi muda ini. Undi mereka dapat membantu kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil nanti," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Beliau berkata Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan Pemuda Umno negeri dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu supaya mengatur program-program bagi mendekatkan diri dengan golongan muda.

Mohd Sabri berkata pilihan raya kecil itu, cukup bermakna kepada Umno untuk memulihkan keadaan serta mengeratkan kembali perpaduan selepas pemilihan parti, baru-baru ini.

"Saya akui sedikit sebanyak pada pemilihan parti baru-baru ini berlaku kekecohan dan keretakan di kalangan ahli Umno. Melalui pilihan raya kecil ini kita akan dapat bersatu semula," katanya.

Beliau berharap anggota Umno terutamanya Pemuda supaya dapat melupakan apa jua krisis yang berlaku sebelum ini, sebaliknya memberi fokus terhadap pilihan raya kecil itu.

"Biarlah kita sama-sama melupakan dan tumpukan kepada pilihan raya kecil ini kerana matlamat kita ialah untuk memenangkan calon BN," katanya.

Tiada ulasan: