Selasa, 16 Disember 2008

Pemuda Umno T'ganu Fokus 20 ribu golongan muda

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan pelbagai program bagi menarik sokongan kira-kira 20,000 pengundi muda dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu, terhadap parti itu.

Ketuanya Mohd Sabri Alwi berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan menyokong calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil parlimen tersebut, 17 Jan depan.

"Kita akan mengadakan pelbagai program untuk mengesan serta menjejaki pengundi muda ini. Undi mereka dapat membantu kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil nanti," katanya kepada pemberita di sini hari Ahad.

Beliau berkata Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan Pemuda Umno negeri dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu supaya mengatur program-program bagi mendekatkan diri dengan golongan muda.

Mohd Sabri berkata pilihan raya kecil itu, cukup bermakna kepada Umno untuk memulihkan keadaan serta mengeratkan kembali perpaduan selepas pemilihan parti, baru-baru ini.

"Saya akui sedikit sebanyak pada pemilihan parti baru-baru ini berlaku kekecohan dan keretakan di kalangan ahli Umno. Melalui pilihan raya kecil ini kita akan dapat bersatu semula," katanya.

Beliau berharap anggota Umno terutamanya Pemuda supaya dapat melupakan apa jua krisis yang berlaku sebelum ini, sebaliknya memberi fokus terhadap pilihan raya kecil itu.

"Biarlah kita sama-sama melupakan dan tumpukan kepada pilihan raya kecil ini kerana matlamat kita ialah untuk memenangkan calon BN," katanya.

Sabtu, 6 Disember 2008

Mustaffa Ali mahu Pengerusi SPR buktikan bersikap adil

oleh Azamin Amin (Harakah)

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Hrkh) - PAS Negeri Terengganu menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari tahun hadapan mengambil kira situasi banjir dan perayaan-perayan yang ada pada bulan ini.

Sungguhpun begitu, Pesuruhjaya PAS Negeri Dato' Mustafa Ali mahu SPR membuktikan bahawa pilihan raya kali ini boleh dijalankan secara bebas dan adil memandangkan sepanjang masa pilhan raya yang lalu berlaku sebaliknya.

"Sempena SPR mempunyai pengerusi baru, biarlah memulakan tugas beliau melaksanakan pilihan raya kecil Kuala Terengganu menjadi contoh satu pilihan raya yang telus dan adil.

"Saya mahu lihat, bebas dan adil bukan sekadar pada cakap. Tapi, pada perlaksanaan. Biarlah kita lawan sesama parti. Pakatan rakyat khususnya PAS melawan BN khususnya Umno.

"Bukan sebuah kerajaan menggunakan apa yang mereka punya untuk berlawan dengan kita sebagaimana masa-masa yang lalu," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily malam semalam.

Dalam pada itu beliau mahu pimpinan Umno supaya masuk pilihan raya ini secara 'gentleman' tanpa ada sebarang ugutan, sama ada melalui agensi kerajaan atau selainnya.

"Saya tidak boleh nak kata Umno tidak menggunakan duit. Ini memang kerja dia.Budaya dia. Saya tidak boleh sebut kalau bukan sifatnya. Dia akan guna duit, tapi ada peraturan yang dia kena 'honour'.

"Maknanya kena had perbelanjaan. Supaya dia tengok, perkara-perkara sebegini," katanya.

Bagi PAS kata Mustafa, ada langkah-langkah yang akan diambil kalau pimpinan Umno melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang sebab PAS mempunyai jawatankuasa dalam jentera iaitu 'Jawatankuasa Legal' (undang-undang).

"Saya mahu biarlah kita melihat secara gentlemen,mengikut peraturan,secara beradab berdasarkan kepada apa yang menjadi panduan yang semua orang sebut 'free and fair' dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa Jawatan Kuasa Induk di Bahagian Pusat, Pengarahnya ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Md Isa manakala beliau sendiri menjadi Timbalannya dan Setiausahanya ialah Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar. Ahlinya terdiri daripada semua Naib Presiden,semua ketua dewan dan beberapa tambahan yang lain.

"Jadi oleh kerana Jawatankuasa Induk, ada yang anggota daripada pimpinan negeri Terengganu yang 'direct' berada dalam jawatankuasa induk. Antaranya ialah Dato' Wan Mutalib, Dato' Abu Bakar Chik,YB Wahid Endut, Dato' Harun Taib," katanya.

Kata Mustafa dari segi operasi di peringkat negeri, jentera pilihan raya kecil Kuala Terengganu, pengerusinya ialah Dato' Wan Mutalib Embong manakala semua pimpinan utama di bawahnya terdiri daripada Dato' Harun Taib dan Dato' Abu Bakar Chik.

Katanya, PAS Pusat melihat pilihan raya kali ini sebagai satu tanggungjawab besar yang mana Terengganu menjadi pusat operasinya dan PAS sudah memulakan gerak kerja sejak awal dan melakukan persiapan yang mantap bagi memastikan kemenangan PAS kali ini.

Senator Wan Farid layak - Puteri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilihat sebagai calon berkelayakan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Pandangan itu dikemukakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Senator Nordiana Shafie kepada Sinar Harian yang menyifatkan Wan Ahmad Farid sebagai tokoh politik berwibawa dan amat popular dalam kalangan masyarakat Kuala Terengganu.

Menurut Nordiana, selain itu pengalaman menjadi ketua UMNO bahagian selama dua penggal dan Timbalan Menteri Dalam Negeri juga
adalah antara faktor mengapa beliau layak untuk dicalonkan.

Katanya, ciri seumpama itu memang diingini pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan beliau yakin bahawa Wan Ahmad Farid mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya dipilih.

Bagaimanapun kata Nordiana, calon mutlak belum dipilih oleh pucuk pimpinan parti dan beliau hanya mendengar desas desus bahawa nama Wan Ahmad Farid tersenarai sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu bertanding di kerusi itu, katanya, BN tidak boleh memandang ringan calon tersebut. Katanya, sekiranya benar Mohamad dicalonkan, persaingan
dijangka sengit, apatah lagi pemimpin tinggi Pas itu tewas pada tangan Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum, Mac lalu.

“Saya harap semua parti yang bertanding akan berkempen secara berhemah dan mengikut lunas undang-undang agar proses buang undi berjalan lancar. Puteri Terengganu kini dalam proses mengumpulkan kembali jentera parti sebagai persiapan pilihan raya berkenaan,” katanya. - Sinar Harian

Tim Presiden Pas : Calon PRK KT belum diputuskan

Roy Rasul (Harakah)

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Setakat ini PAS belum lagi memutuskan nama calon untuk bertanding di kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berdasarkan prosedur PAS Pusat akan menunggu nama calon yang dicadangkan kawasan-kawasan dan kawasan pula akan hantar kepada negeri dan akhirnya akan diputuskan oleh PAS Pusat.

"Ia bergantung kepada nama yang dicadangkan oleh kawasan tidak kira anak tempatan atau orang luar,"jelasnya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Begitu juga katanya, jika ada kawasan yang mencalonkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagaimana yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat maka ia juga akan dipetimbangkan.

"Jika sudah ada cadangan daripada Tuan Guru,maka kita akan tunggu cadangan kawasan pula kemudian kita akan bincang dalam mesyuarat. Saya tidak boleh bagi keputusan sebab bukan saya yang buat keputusan,"katanya.

Tambahnya, dalam pilihan raya kali ini peluang PAS untuk merampas kerusi tersebut cerah berikutan dengan situasi politik terkini dan tambahan pula majoriti kekalahan lalu adalah kecil.

"Sebab kita lihat dulu, majoriti tidak besar mana pun dan dengan itu peluang kita cerah,insya-Allah,"katanya.

Nasharuddin yang juga Pengarah Pilihan raya Kecil PAS Kuala Terengganu berkata, PAS sudah bersedia untuk berdepan dengan Barisan Nasional.

Jumaat, 5 Disember 2008

Najid: K T'ganu tidak boleh dibanding dengan Permatang Pauh

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam keadaan berbeza berbanding di Permatang Pauh kerana kawasan itu sebelum ini, dimenangi calon parti berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN perlu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berbanding di Permatang Pauh, yang sebelum pilihan raya kecil, kawasan itu diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN dan kawasan Parlimen kita (BN)... kita pertahankan kerusi. Keadaan di sini (Parlimen Kuala Terengganu) tidak boleh dibandingkan dengan keadaan di Permatang Pauh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis tahlil Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail di Lorong Kenanga, Batu Burok di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai corak dan kempen yang akan dilaksanakan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau akan mengumumkan perkara itu selepas mendapat gambaran sebenar daripada Umno Terengganu.

"Kita akan beritahu kemudian. Tujuan saya datang ke sini adalah bertemu dengan pemimpin di peringkat Jawatankuasa Bahagian. Selepas itu, baru dapat gambaran sebenar keadaan di sini," katanya.

Mengenai tarikh pengundian pilihan raya kecil itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, SPR menetapkan tarikh berkenaan selepas mengambil kira faktor cuaca yang melanda Terengganu pada masa ini. BERNAMA

Maimun layak bertanding di Parlimen K Terengganu

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (mstar)

PUTRAJAYA: Calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum ke-12 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusuf, 89 (gambar) masih layak bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Januari tahun depan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Maimun atau lebih Tok Mun boleh bertanding lagi pada kali ini kerana beliau telah menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada SPR.

"Semua calon yang dulu layak bertanding selagi tidak menyalahi undang-undang dari segi menyerah penyata perbelanjaan pilihan raya.

"Beliau serah penyata. Kalau serah penyata, tiada masalahlah," katanya selepas sidang media berhubung pilihan raya kecil Kuala Terengganu di pejabatnya di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Maimun yang hanya mendapat 685 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi manakala caIon Pas, Mohamad Sabu pula mendapat 31,934 undi.

SPR hari ini telah bersetuju bahawa tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah pada 17 Januari 2008 sementara hari peanamaan calon adalah pada 6 Januari.

Pilihan raya kecil Parlimen itu diadakan berikutan penyandangnya, Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Maimun sebelum ini telah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ada pihak sudi menaja wang pertaruhan RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya kecil itu, Wan Ahmad berkata, SPR bersetuju membenarkan kehadiran wakil Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) untuk menjalankan pemerhatian dengan syarat yang ditetapkan SPR.

Beliau berkata, pemerhati hanya dibenarkan berada di pusat mengundi pada hari pengundian dan mereka sama sekali dilarang memasuki saluran pengundian.

"Undang-undang tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk ke dalam saluran pengundian kecuali petugas pilihan raya, ejen calon, pengundi, anggota SPR dan mereka yang dibenarkan oleh SPR sahaja.

"Kita masih membenarkan Mafrel membuat pemantauan seperti pada pilihan raya umum ke-12 (8 Mac) dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, (26 Ogos) tapi syarat tu ketat kerana kita tak mahu urusan perjalanan pilihan raya diganggu kelancaran," katanya.

PRK KT: PKR akan turun padang

KUALA LUMPUR, 5 Disember (SK) - Parlimen Kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan, akan memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional kata Naib Presiden KeADILan Azmin Ali.

Menurut beliau, walau siapapun yang bertanding dalam kerusi parlimen berkenaan, KeADILan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Kami Pakatan Rakyat juga akan memberi tentangan hebat kepada Umno-Barisan Nasional memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik Pakatan Rakyat,” menurutnya dalam blognya 1 Disember lalu

Azmin yang juga Pengarah Pilihanraya KeADILan berkata, KeADILan sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Sebelum ini, satu mesyuarat majlis tertinggi KeADILan telah diadakan dan menetapkan sedia memberi peluang kepada rakan PAS untuk bertanding di Kuala Terengganu. Keputusan ini diambil atas beberapa faktor dan diketahui umum bahawa kerusi Parlimen Kuala Terengganu secara tradisinya adalah milik PAS,” katanya lagi.

Hari ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan diadakan pada 6 Januari dan pengundian pula 17 Januari, memberikan 11 hari berkempen.

Jumlah pengundi kali ini 80,229 orang, sedikit berbeza berbanding 80,325 orang dalam pilihanraya umum Mac lalu.